Assalamu'alaikum

27 December 2010

Menjadi Tunang Orang Tanpa Kita Sedar?


Jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak lelaki?

Jawapan

Makna pinang dari segi syarak adalah pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan berkata setuju, maka perempuan itu sudah dikira menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Contohnya apabila seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan, "Aku ingin jadikan kamu sebagai isteriku."

"Kahwin la dengan kita bila-bila," jawab perempuan tersebut.

Maka dari segi hukum syarak, tatkala pihak perempuan itu bersetuju, dia telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut; walaupun ia disebut dalam telefon.

Jadi, haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang jika hal itu diketahui. Namun jika pihak lelaki lain yang ingin masuk meminang itu tidak tahu, maka ia tidak haram.

Bagaimana dengan kebiasaan orang Melayu yang menghantar rombongan meminang untuk lelaki meminang perempuan?

Ia hanyalah adat Melayu, dan tiada kena mengena dengan hukum Islam. Antara hukum Islam dan hukum adat, mana satu lebih penting?

Namun tiada masalah dengan adat Melayu itu, cuma dari segi hukum Islam, bertunang itu adalah apabila seorang perempuan itu bersetuju dengan hasrat pihak lelaki untuk menjadikannya seorang isteri.

Bagaimana Jika Perempuan Itu Ketiadaan Ibu Dan Ayah?

Mengikut hukum syarak, jika perempuan itu persetujuannya sudah diizinkan oleh syarak seperti perempuan yang cerdik, yang sudah baligh dan sebagainya, ia sudah dianggap bertunang jika dia bersetuju dengan pelawaan lelaki yang menyatakan hasrat mengahwininya.

Apabila perempuan itu persetujuannya tidak menepati hukum syarak seperti belum baligh, gila dan lain-lain, maka wali diperlukan untuk menjawab 'pinangan' tersebut.

Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati kerana kita boleh menjadi tunang orang tanpa kita sedar. Pastinya ramai yang tidak tahu dan perasan akan hakikat ini.


Sekiranya kita memang betul-betul sudah menjadi tunangan orang, bacalah artikel 'Disiplin Islam Dalam Pertunangan' dan 'Bagaimana Bercouple Cara Islam?'


p/s : "Jangan samakan tunang dari segi adat dengan tunang dari segi syarak. Ramai di antara kita tahu tentang tunang dari segi adat; ada hantaran dan ada cincin. Sedangkan itu bukan syarat sah tunang. Cincin dalam pertunangan ibarat memakai jubah ketika solat. Ia bukanlah suatu kemestian untuk pakai jubah ketika solat, tetapi ia sudah jadi kebiasaaan. Itu sahaja. Tak ada jubah, tak bermakna tak sah solat."


____________________________________________


- Artikel iluvislam.com

- Artikel diolah dari ceramah Ustaz Azhar Idrus.



12 December 2010

Hukum Bulu Kucing

Seperti mana yang kita tahu, kucing adalah salah satu haiwan yang paling rapat dengan manusia bahkan boleh menjadi sahabat yang setia. Tapi mungkin ada sesetengah individu tidak tahu atau masih ragu-ragu tentang hukum bulu kucing.

Menurut Mazhab Syafi'i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu binatang yang tidak halal dimakan akan menjadi najis apabila tertanggal dari tubuh badannya, sama ada semasa hidupnya atau selepas mati. Namun menurut imam Hanafi dan Maliki, ia adalah suci.

Binatang yang Tidak Halal Dimakan Dagingnya

Jika bulu binatang yang tidak halal dimakan seperti kucing,monyet, musang dan sebagainya terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu binatang tersebut adalah najis apatah lagi sesudah binatang tersebut mati. Demikian juga anggota-anggotanya yang lain jika bercerai daripada binatang itu adalah dikira bangkai. ( Mughni al-Muhtaj, Kitab al-Taharah, Bab al-Najasah, jilid 1, halaman 115 )

Hubungannya dengan Solat

Menurut hukum syarak, syarat sah solat itu hendaklah bersih daripada segala najis baik pada pakaian, tubuh badan dan tempat sembahyang. Oleh sebab itu, jika terdapat bulu binatang yang dihukumkan najis pada pakaian atau badan maka sembahyang itu tidak sah kerana menanggung sesuatu yang najis. Kecuali jika bulu yang najis itu sedikit, seperti sehelai atau dua helai, kerana ia dimaafkan. Melainkan bulu anjing atau babi kerana ia tetap najis walaupun hanya sedikit ( Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, halaman 175 )