Assalamu'alaikum

05 April 2011

Kelebihan Salam

Rasulullah S.A.W mengatakan: Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kalian dan tidak pula harta kalian, tetapi Allah melihat hati dan amal perbuatan kalian. Ada dua aspek di sini yang diperhatikan Allah terhadap kita. Yang pertama hati dan yang kedua amal perbuatan yang dilaksanakan. Jadi, ibadah mesti lurus seperti ditetapkan Allah. Hati yang suci dengan nilai mahmudah pasti mendapat sanjungan dan pujian daripada Allah. Yang berkarat penuh dengan debu-debu dosa batin sudah tentu mendapat balasan yang pedih di akhirat kelak.

Demikian juga dengan kedudukan amalan kita. Amal ibadah wajib dan sunat semua diperhitungkan Allah dan diberi pahala di sisi-Nya. Tetapi sayangnya ramai yang tidak mengetahui bahawa Allah s.w.t membuka ruang yang amat luas dalam membuat koleksi pahala di dunia ini dengan secara mudah dan percuma, iaitu dengan memberi ucapan ringkas sahaja iaitu salam.

Ramai yang tidak tahu perkara yang pertama kali yang Nabi saw sampaikan ketika berada di al-Madinah a-Munawwarah adalah salam.

" Wahai manusia, berikanlah salam, berilah makan, jalinkanlah silaturrahim solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat sejahtera.

( Riwayat Ahmad no 24513, Ibn Majah no 3374,al-Baihaqi dalam al-Syu’ab no 8490 )

Salam ini menurut hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim diajar secara sempurna oleh para malaikat kepada Adam dengan lafaz Assalammualaikum warhmatullah. Allah S.W.T memberitahu Nabi Adam ini adalah salam kamu dan keseluruhan zuriatmu hingga ke hari Kiamat.

Salam adalah suatu doa kesejahteraan dan keselamatan yang seharusnya dilafazkan ketika berjumpa sesama Muslim dan hukum menjawabnya adalah wajib. Apakah hikmahnya menyebarluaskan ucapan salam? Dalam hal ini, salam dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Islam mementingkan gaya hidup yang harmoni berasaskan kebersamaan dan semangat ukhuwah yang utuh. Kita akan temui satu lagi pesanan Nabi berkait salam ini. Ini dicatatkan oleh Muslim. Kata Rasulullah: Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan assalamualaikum di antara kamu. Antara kelebihan salam yang paling utama ialah ia menimbulkan kemesraan yang menjadi asas kasih sayang.Sementara kasih sayang menjadi penyebab rahmat dan keimanan dan seterusnya mendapat syurga Allah.( Riwayat Muslim no 203, al-Tirmizi no 2699 ).

Demikian tunjuk ajar Rasulullah kepada umat Islam agar menjadikan ucapan salam itu wadah untuk membentuk ummah yang bersatu padu. Seorang tokoh sufi tersohor, Ibrahim bin Adham mengatakan ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan malapetaka.

Oleh itu, amalan memberikan salam sesama Muslim itu suatu manifestasi ikatan ukhuwah yang mantap bersendikan agama. Bukan saja mendapat pahala, tetapi impaknya sangat positif dalam mewujudkan situasi kehidupan bersosial yang harmonis.

Antara hukum hakam yang mengenai salam adalah :

  1. Makruh memberi salam dengan ucapan “Alaikumus salam.” Rasulullah s.a.w. bersabda apabila Jabir r.a. memberi salam dengan lafaz tersebut, “Jangan kamu mengatakan alaikas salam.” Dalam riwayat Abu Daud disebut, “Kerana sesungguhnya ucapan alaikas salam itu adalah salam untuk orang yang telah mati.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
  2. Dianjurkan mengucapkan salam sebanyak tiga kali di khalayak ramai. Di dalam hadis Anas disebut bahawa: “Nabi s.a.w. apabila Baginda mengucapkan sesuatu kalimah, ia mengulanginya tiga kali. Dan apabila ia datang kepada sesuatu kaum, ia memberi salam kepada mereka tiga kali.” (Riwayat al-Bukhari)
  3. Termasuk dalam sunah memberi salam seperti berikut:
  • Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.
  • Orang yang berdiri/berjalan memberi salam kepada orang yang sedang duduk.
  • Individu (seorang) memberi salam kepada kelompok ramai dan kelompok yang sedikit memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai.
  • Orang yang muda memberi salam kepada orang yang lebih tua.
  • Disunatkan meninggikan sedikit suara memberi dan menjawab salam, supaya jelas didengar, kecuali seandainya ada orang yang sedang tidur.
  • Disunatkan memberi salam sewaktu masuk ke sesuatu majlis dan ketika keluar dari majlis.
  • Disunatkan memberi salam ketika masuk ke rumah walaupun rumah yang kosong.
  • Makruh memberi salam kepada orang yang sedang qada hajat.
  • Disunatkan memberi salam kepada anak-anak.
  • Tidak memulai memberi salam kepada orang bukan Islam. Namun sekiranya mereka yang mendahulukan memberi salam, maka jawablah: “Wa’alaikum.”
  • Disunatkan memberi salam kepada sesiapa jua sesama Muslim, sama ada yang dikenali atau tidak.
  • Sunat menjawab salam yang dikirimkan melalui orang lain.
  • Jangan memberi salam dengan isyarat melainkan ada keuzuran seperti sedang solat, bisu atau jarak yang agak jauh.
  • Digalakkan berjabat tangan, kecuali dengan wanita atau lelaki yang bukan mahram.
  • Haram membongkokkan badan atau sujud sebagai tanda penghormatan semasa memberi salam.

p/s : Moga kita dapat sama-sama istiqamah mengamalkan sunnah yang kecil dan mudah ini, bagi memperolehi ganjaran yang besar disisiNya.

Sumber : zahazan.net

berita harian on9