Assalamu'alaikum

27 December 2010

Menjadi Tunang Orang Tanpa Kita Sedar?


Jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak lelaki?

Jawapan

Makna pinang dari segi syarak adalah pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan berkata setuju, maka perempuan itu sudah dikira menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Contohnya apabila seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan, "Aku ingin jadikan kamu sebagai isteriku."

"Kahwin la dengan kita bila-bila," jawab perempuan tersebut.

Maka dari segi hukum syarak, tatkala pihak perempuan itu bersetuju, dia telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut; walaupun ia disebut dalam telefon.

Jadi, haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang jika hal itu diketahui. Namun jika pihak lelaki lain yang ingin masuk meminang itu tidak tahu, maka ia tidak haram.

Bagaimana dengan kebiasaan orang Melayu yang menghantar rombongan meminang untuk lelaki meminang perempuan?

Ia hanyalah adat Melayu, dan tiada kena mengena dengan hukum Islam. Antara hukum Islam dan hukum adat, mana satu lebih penting?

Namun tiada masalah dengan adat Melayu itu, cuma dari segi hukum Islam, bertunang itu adalah apabila seorang perempuan itu bersetuju dengan hasrat pihak lelaki untuk menjadikannya seorang isteri.

Bagaimana Jika Perempuan Itu Ketiadaan Ibu Dan Ayah?

Mengikut hukum syarak, jika perempuan itu persetujuannya sudah diizinkan oleh syarak seperti perempuan yang cerdik, yang sudah baligh dan sebagainya, ia sudah dianggap bertunang jika dia bersetuju dengan pelawaan lelaki yang menyatakan hasrat mengahwininya.

Apabila perempuan itu persetujuannya tidak menepati hukum syarak seperti belum baligh, gila dan lain-lain, maka wali diperlukan untuk menjawab 'pinangan' tersebut.

Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati kerana kita boleh menjadi tunang orang tanpa kita sedar. Pastinya ramai yang tidak tahu dan perasan akan hakikat ini.


Sekiranya kita memang betul-betul sudah menjadi tunangan orang, bacalah artikel 'Disiplin Islam Dalam Pertunangan' dan 'Bagaimana Bercouple Cara Islam?'


p/s : "Jangan samakan tunang dari segi adat dengan tunang dari segi syarak. Ramai di antara kita tahu tentang tunang dari segi adat; ada hantaran dan ada cincin. Sedangkan itu bukan syarat sah tunang. Cincin dalam pertunangan ibarat memakai jubah ketika solat. Ia bukanlah suatu kemestian untuk pakai jubah ketika solat, tetapi ia sudah jadi kebiasaaan. Itu sahaja. Tak ada jubah, tak bermakna tak sah solat."


____________________________________________


- Artikel iluvislam.com

- Artikel diolah dari ceramah Ustaz Azhar Idrus.



12 December 2010

Hukum Bulu Kucing

Seperti mana yang kita tahu, kucing adalah salah satu haiwan yang paling rapat dengan manusia bahkan boleh menjadi sahabat yang setia. Tapi mungkin ada sesetengah individu tidak tahu atau masih ragu-ragu tentang hukum bulu kucing.

Menurut Mazhab Syafi'i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu binatang yang tidak halal dimakan akan menjadi najis apabila tertanggal dari tubuh badannya, sama ada semasa hidupnya atau selepas mati. Namun menurut imam Hanafi dan Maliki, ia adalah suci.

Binatang yang Tidak Halal Dimakan Dagingnya

Jika bulu binatang yang tidak halal dimakan seperti kucing,monyet, musang dan sebagainya terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu binatang tersebut adalah najis apatah lagi sesudah binatang tersebut mati. Demikian juga anggota-anggotanya yang lain jika bercerai daripada binatang itu adalah dikira bangkai. ( Mughni al-Muhtaj, Kitab al-Taharah, Bab al-Najasah, jilid 1, halaman 115 )

Hubungannya dengan Solat

Menurut hukum syarak, syarat sah solat itu hendaklah bersih daripada segala najis baik pada pakaian, tubuh badan dan tempat sembahyang. Oleh sebab itu, jika terdapat bulu binatang yang dihukumkan najis pada pakaian atau badan maka sembahyang itu tidak sah kerana menanggung sesuatu yang najis. Kecuali jika bulu yang najis itu sedikit, seperti sehelai atau dua helai, kerana ia dimaafkan. Melainkan bulu anjing atau babi kerana ia tetap najis walaupun hanya sedikit ( Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, halaman 175 )

16 November 2010

Hukum Lelaki Berinai


Sekarang ini di tengah masyarakat kita, perbuatan berinai bagi lelaki masih wujud walaupun ada di antaranya telah mengetahui tentang hukumnya, khasnya kepada pengantin lelaki pada majlis malam berinai. Berinai bagi pengantin lelaki hukumnya tetap dilarang. Pengecualian daripada hukum tersebut hanya terbatas kepada keadaan jika ada keuzuran sahaja.

Menurut pendapat Imam Hambali dan Imam Syafie mengatakan pemakaian inai ini adalah harus, inai ini boleh digunakan di mana-mana baghagian tubuh lelaki dan perempuan. Cuma Imam Hambali tidak membenarkan inai dibahagian kepala lelaki dan perempuan. Manakala Imam Syafie pula, tidak membenarkan bagi lelaki menginaikan kaki dan tangan mereka kerana menyerupai sifat perempuan. Tetapi apabila dharurat dibenarkan untuk tujuan perubatan. Tidak dibenarkan sama sekali memakai inai bagi perempuan yang idah iaitu (isteri bagi suami yang meninggal) tidak dibenarkan berhias dan keluar rumah tanpa tujuan selama 4 bulan 10 hari atau 3 kali suci dari haid.

Begitu juga pendapat dari Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasaan wanita .

Adapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai atau 'bapacar' ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

Maksudnya: "Daripada Anas dia berkata: "Bahawa Nabi S.A.W melarang kaum lelaki memakai za'faran (kuma-kuma)."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Za'faran (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum.

Dilarang memakai za'faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za'faran dari segi mengeluarkan warna dan bau.

Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu di dalamnya unsur-unsur menyerupai atau meniru-niru cara kaum wanita berhias. Haram hukumnya perbuatan meniru-niru atau menyerupai antara lelaki dan perempuan sebagaimana ditegaskan di dalam sebuah hadis sahih:

Maksudnya: "Daripada Ibnu 'Abbas R.A beliau berkata: "Bahawa Rasulullah S.A.W melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau meniru-niru kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau meniru-niru kaum lelaki."
(Hadis riwayat Bukhari)

Bagaimanapun jika sekiranya lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu keperluan atau hajat untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidaklah dimakruhkan ke atasnya untuk berinai. Tujuan kesihatan seperti menghidap penyakit kuku rosak.

Tersebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud :

Maksudnya: "Daripada Salma khadam Rasulullah S.A.W dia berkata: "Tidak mengadu kepada Baginda S.A.W seseorang tentang sakit di kepala melainkan Baginda menyuruh orang itu supaya berbekam, dan tidak mengadu kepadanya seseorang tentang sakit di kakinya (pecah kulit) melainkan Baginda menyuruhnya supaya berinai."
(Hadis riwayat Abu Daud)


Secara umumnya berinai bagi pengantin lelaki pada tangan dan kaki hanya merupakan adat semata-mata, tidak ada disyariatkan di dalam Islam.


Kesimpulannya, bagi lelaki tidak dibenarkan memakai inai di kaki dan ditangan kecuali wanita, kerana menyerupai wanita. Sekiranya ada pandangan lain yang membolehkan, maka kita sebagai Islam mestilah berhati-hati dalam menentukan perbuatan kita, kerana dikuatiri menjadi haram.

Allahualam...

14 November 2010

Hukum Memakai Gelang Tangan


Kejahilan dan kedegilan masyarkat pada dewasa ini untuk tidak mendalami ilmu agama boleh menyebabkan seseorang itu terikiut-ikut dengan tindakan atau penerampilan cara hidup orang kafir.


Musuh Islam merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam terjebak untuk menerima cara yang diperkenalkan. Sebagai contoh mereka menciptakan alat bagi mengurangkan tekanan darah dalam bentuk gelang tangan, bagi orang Islam yang tipis imannya akan menerimanya sebagai satu kaedah perubatan terkini.

Hakikatnya banyak cara lain yang boleh di gunakan, tetapi kerana memakai gelang itu adalah dilarang untuk dipakai oleh lelaki Muslim, maka itulah cara terbaik diperkenalkan oleh musuh agar Muslim dilaknat oleh Allah s.w.t.. Apabila dilaknat mereka tidak akan menjadi umat yang kuat untuk menghadapi kemaraan musuh yang makin kuat.

Larangan memakai gelang tangan walaupun untuk tujuan kesihatan, telah ditegaskan oleh Rasullulah s.a.w .: Hadis Imran Bin Hussein r.a., bahawasanya Rasullulah s.a.w. telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan.

"Apakah bendanya ini"?Lelaki itu berkata,"Ia adalah gelang perubatan". Rasullulalah bersabda,"Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun utk tujuan perubatan),buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya." Hadis Sahih yg ke-19,885 Riwayat Imam Ahmad.

Pemakaian gelang pada hari ini, melibatkan ustaz-ustaz, pegawai-pegawai kerajaan, menteri-menteri bahkan perdana menteri sekali pun...sesungguhnya mereka semua telah tertipu dengan perancangan musuh yang mahu menghancurkan pegangan akidah umat Islam.

Di Malaysia trend ini bermula di mana gelang hitam diberikan sebagai hadiah orang yang baru balik dari Mekah.Sekarang ini dibenarkan oleh Tabung Haji kepada jemaah haji apabila berada di Tanah Suci supaya faktor mudah di kenali atau sebarang kes hilang , kemalangan dan sebagainya.

Jenis-jenis gelang yang di haramkan bagi lelaki:-
1) Gelang Kayu koka
2) Gelang Kristal
3) Gelang Tasbih
4) Gelang Getah plastik
5) Gelang Besi magnet
6) Gelang Besi Tabung Haji (apabila berada di Malaysia)

Jenis-jenis gelang yang diharuskan:-
1) Gelang pesakit semasa berada di hospital (di tanda nama pesakit dan wad)
2) Gelang pesalah/penjenayah (dipakai oleh penjenayah yang telah di tangkap polis)
3) Gelang kaki bagi pesakit gila/jiwa.

Sekiranya ada yang hendak pakai sangat, maka dia hendaklah berusaha menjadi salah satu daripada 3 golongan ini.

Allahualam.